Monday, January 9, 2012

WEIGHT SYSTEM EVER USED IN KEDAH


SISTEM TIMBANGAN DI KEDAH:

Belum dapat dipastikan apakah sifat sistem timbangan yang pernah digunakan oleh masyarakat awal di Kedah, seperti dalam ‘zaman Sungai Batu’. Namun, dalam zaman sesudahnya, dipercayai masyarakat Kedah telah menggunakan sistem seperti yang digunakan dalam seluruh Alam Melayu, iaitu ‘Sistem Saga’. Menurut beberapa penelitian sejarah menunjukkan Kedah merupakan sebuah jajahan naungan Empayar Sriwijaya mulai abad ke-7 Masihi. Dipercayai semenjak zaman itu penggunaan ‘Sistem Saga’ di Kedah telah menjadi mantap. Berikutnya sistem ini telah diamalkan dalam masa yang sangat lama. Setelah Empayar Sriwijaya runtuh dalam abad ke-13 Masihi, dan cengkaman kekuasaannya di Semenanjung Tanah Melayu pun telah kendur, sistem ini tetap berjalan seperti biasa dalam masyarakat Kedah.


Skala Timbangan Kecil:

Telah dijelaskan di atas bagaimana beberapa daripada unit berat yang telah tersusun dalam Skala Timbangan Kecil telah dijadikan asas ukuran bagi menempa jenis-jenis mata wang awal dalam negeri-negeri Melayu. Namun, bukanlah semua unit dalam skala itu dijadikan bentuk mata wang. Unit yang dipilih hanya unit berat yang sesuai. Walau pun begitu, pengiraan jumlah matawang tetap mengikut unit-unit  skala tersebut.

Menurut At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, dalam zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah II yang memerintah di Kota Siputih antara tahun 1506-1547 Masihi telah mula ditempa mata wang emas dan timah bagi negeri Kedah[1]. Mata wang emas yang ditempa itu adalah mengikut ukuran unit berat Satu Kupang dan juga Satu Emas, yang lazim boleh diterima dalam seluruh alam Melayu ketika itu. Unit berat Satu Emas bersamaan dengan empat unit Satu Kupang, iaitu piawai tukaran emas yang lazim pada masa itu. Dengan mengikut ukuran tersebut maka ditempalah matawang emas jenis Se Kupang (Satu Kupang) dan Se Mas (Satu Emas), yang disebut juga Se Jampal (Satu Jampal).

Terdapat keterangan dalam kitab tersebut begini: ‘Maka akan perbelanjaan tera: dua belas tera satu pitis, seratus lima puluh tera dua belas pitis setengah, jadi sekupang. Enam ratus tera empat kupang, jadi sejampal. Dua jampal seriyal. Jadi, seribu dua ratus tera seriyal’.[2] Demikianlah dipertetapkan oleh Duli Baginda Sultan Yang Maha Mulia perbelanjaan dan sukatan itu’.

Berkaian perkara ini, perlu dijelaskan bahawa istilah ‘Mas’ atau ‘Emas’ boleh mempunyai dua makna, iaitu sebagai unit berat atau sebagai nama matawang. Bagi sesetengah tempat, untuk mengelak kekeliruan, sebutan ‘mas’ sebagai matawang telah diubah supaya dapat dibezakan dengan unit berat dalam timbangan. Dengan sebab itulah timbul istilah Se Jampal. Begitu juga dengan istilah ‘kupang’, boleh disebut sebagai nama matawang atau sebagai unit berat. Unit-unit berat seperti paha, tahil dan kati tidak pernah dijadikan dalam bentuk matawang. Istilah-istilah itu hanya disebut dalam kiraan sahaja.

Istilah-istilah unit berat dalam skala timbangan tradisional seperti di atas kerap pula disebut dalam teks Undang-Undang Pelabuhan Kedah. Teks ini adalah antara rekod terawal yang menunjukkan penggunaan skala timbangan ini. Ia telah mula ditulis dalam zaman Sultan Rijaluddin Muhammad Syah yang memerintah di Kota Naga antara tahun 1626-1651 Masihi. Menurut Winstedt (1936), kitab Undang-Undang Pelabuhan itu telah ditulis dalam tahun 1650 Masihi.[3]

Sebagai contoh, fasal ke-lima undang-undang ini telah memperuntukkan hukuman denda bagi orang yang menjatuhkan hukuman bunuh tanpa pengetahuan raja. Terdapat kata-kata: ‘Fasal pada menyatakan hukum orang membunuh tiada dengan setahu raja-raja atau tiada setahu orang besar itu, jikalau dibunuhnya dengan dosanya sekalipun, hukumnya denda sepuluh tahil sepaha. Salahnya tiada memberitahu raja atau hakim’.[4]

Dalam fasal lima juga ada dinyatakan, antara hukuman yang paling berat dalam undang-undang ialah kerana kesalahan membunuh. Hukumannya hendaklah dibunuh balas, tetapi hanya raja sahaja yang berhak menjatuhkan hukuman itu. Selain itu, mengikut peruntukan ini, hukuman bunuh boleh digantikan dengan denda (hukuman ta’zir) sebanyak sekati lima tahil emas. Dalam teks ada disebut: ‘Ada pun jika orang membawa titah itu mengambil isteri orang, tiada dapat dibunuh. Ditangkap, hantar ke negeri raja, dibunuh atau didenda sekati lima tahil. Jika dibunuh, jadi derhaka ke bawah duli. Maka dibunuh pula hukumnya, atau kena denda sekati lima tahil’.[5] (Maksudnya: Jika seseorang pegawai raja itu melakukan kesalahan merampas isteri orang, pegawai itu tidak boleh dihukum bunuh. Ia hendaklah ditangkap, kemudian dibawa kepada raja untuk dijatuhkan hukuman. Hukumannya ialah sama ada dibunuh atau sebagai ganti boleh dibayar denda sebanyak sekati lima tahil emas. Hanya raja sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman bunuh itu. Tetapi jika dibunuh juga pegawai itu diluar pengetahuan raja, sipembunuh itu dikira sebagai derhaka kepada raja. Maka sipempunuh ini hendaklah dihukum bunuh pula, atau gantinya denda sebanyak sekati lima tahil emas).

Mengapakah dalam undang-undang Melayu lama itu hukuman mati itu boleh digantikan dengan denda sebanyak sekati lima tahil emas? Persoalan ini menarik juga disentuh secara ringkas di sini. Sebenarnya penjelasan perkara ini terdapat di dalam Undang-Undang Kedah Versi Ku Din Ku Meh. Dalam teks undang-undang itu ada dijelaskan pertalian undang-undang Islam dengan peristiwa penebusan nyawa ayahanda Nabi Muhammad dengan 100 ekor unta. Dijelaskan bahawa 100 ekor unta itu diqiyaskan dengan 100 ekor kerbau atau lembu di Kedah, yang harganya pada ketika undang-undang itu ditulis telah ditaksirkan sebanyak sekati lima tahil emas.

Dalam Undang-Undang Pelabuhan Kedah itu ada juga ditetapkan kadar persembahan oleh pembesar-pembesar dan saudagar-saudagar kepada Raja, yang sebenarnya merupakan suatu bentuk pencukaian. Antaranya ada disebutkan: ‘Fasal pada menyatakan pekerjaan Syahbandar dan Mata-Mata Kerah: Segala saudagar membawa persembahan akan Raja dihimpunkan pada Panglima Bandar. Ada pun banyak persembahan, pada adatnya: Panglima Bandar sepaha, dan persembahan Syahbandar dua emas, dan persembahan segala saudagar dua emas dan seemas, dikira-kira ia mana patutnya kadarnya’.

Dalam teks undang-undang tersebut juga terdapat keterangan tentang kadar upah bagi pendakwa dan yang menjadi saksi dalam sesuatu pertelingkahan, yang mengikut jauhnya tempat tinggal orang yang berkaitan. Terdapat kata-kata begini: ‘Jika pertengahan pesara atau hingga Pumpung Kecil, tengah kupang. Jika hingga pertengahan pesara, dua kupang tera, dan jika ke Tanjung Inggeris, enam kupang tera, dan jika dari balai Orang Kaya Khan-Khan, dua kupang, dan ke pengkalan dua kupang ke hujung pekan sebelah masjid’.[6]

Di samping itu, pada halaman lain ada pula diceritakan tentang upah/cukai yang mesti dibayar kepada kweng (ketua kampung) bagi menyelesaikan surat menyurat apabila dilakukan jual-beli kerbau untuk disembelih. Terdapat kata-kata begini: ‘Demikianlah jika orang berbantai (sembelih) kerbau lembu, maka hendaklah nyatakan kepada kweng. Hendaklah hantarkan kepalanya dan tanduk dan belulangnya kepada kweng. Akan hasil surat cap itu: yang berjual tiga emas tera, dan yang membeli dua emas tera’.[7]

Sumber-sumber Eropah juga ada menyebut keterangan berkaitan dengan sistem timbangan berat di Kedah ini. Antara yang paling awal mencatatkannya ialah Jenenal Augustine de Beaulieu, dalam sekitar tahun 1661 Masihi. Dalam catatannya yang diterbitkan di Paris dalam tahun 1666 berjudul ‘Relation de divers Voyages curieux etc.’, disebutkan: "Ils font, dit il, de la monnoye environ de l'estoffe des sols de France, toutefois d'un peu meilleur alloy, qu'ils appelent tras; les 32 valent una realle, ils content par taels (tahil), mais un tael en vaut quatre d' Achem”. (Terjemahan: “Mereka menempa, katanya, sejenis matawang serupa dengan sol Perancis, daripada logam yang lebih bermutu, yang mereka sebut tera, yang mana 32 keping bersamaan nilai satu Riyal, mereka menimbang dengan ‘tael’ (tahil), tetapi ‘tael’ di sana bersamaan empat (Tahil) di Acheh”). Kenyataan ini telah dipetik oleh Professor H.C. Millies, yang membuat kajian dalam tahun 1871 tentang matawang di Tanah Melayu.[8]

Daripada sumber-sumber di atas dapatlah kita kutip beberapa istilah yang disebutkan, yang merupakan unit-unit berat dalam zaman tradisional Kedah. Istilah-istilah unit berat tersebut ialah ‘kati’, ‘tahil’, ‘paha’, ‘emas’ dan ‘kupang’.

Daripada istilah-istilah yang kita kutip itu, dapatlah kita susun suatu skala timbangan yang pernah digunakan oleh masyarakat Kedah zaman tradisional, yang sebenarnya selaras dengan sistem yang pernah diterima pakai dalam seluruh alam Melayu dengan sedikit sebanyak perbezaan.

Daripada keterangan sumber-sumber yang dikutip menunjukkan skala yang digunakan di Kedah menepati ‘piawai mas’ di alam Melayu. Susunan skala tersebut ialah:

5 kundi = 1 kupang
4 kupang = 1 emas/mas
4 emas = 1 paha
4 paha = 1 tahil (=16 emas)
16 tahil = 1 kati (= 256 emas)


Berkaitan skala kecil, tidak diperoleh keterangan yang khusus tentang penggunaan ‘piawai mayam’ di Kedah. Namun, penggunaan piawai tersebut hingga pada masa sekarang pun masih ada diamalkan di kedai-kedai emas di Kedah. Ini menunjukkan amalan piawai tersebut telah diamalkan sejak lama. Tetapi, berat bagi ‘1 mayam’ yang digunakan sekarang telah berubah, jika dibandingkan dengan unit mayam (maiam) yang dicatatkan oleh Thomas Bowrey, seperti yang diterangkan di atas tadi.


Penggunaan Sistem Timbangan:

Dalam teks Undang-Undang Kedah telah disebutkan istilah-istilah ‘Kupang’, ‘Mas’, ‘Tahil’ dan ‘Kati’ sebagai nilai-nilai untuk bayaran denda, upah-upah atau cukai tertentu. Sebenarnya istilah-istilah tersebut ialah unit-unit berat bagi emas. Istilah-istilah tersebut dibezakan dengan istilah-istilah ‘kupang tera’, ‘emas tera’, ‘tembaga tera’ dan ‘timah tera’, yang sebenarnya ialah jenis matawang yang pernah diedarkan di Kedah.[9]

Istilah-istilah sebagai nama matawang itu disebut bercampur aduk bersama-sama dengan unit-unit berat. Oleh itu, keterangan teks ini menunjukkan kepada kita dalam zaman tersebut logam emas sebagai matawang digunakan seiring dengan logam emas dalam bentuk lain. Emas yang bukan matawang itu perlu ditimbang dahulu, untuk digunakan sebagai perantara jual beli dan juga sebagai ‘alat bayaran’ upah kerja atau denda-denda kesalahan ketika itu.

Perlu ditegaskan bahawa emas yang telah dijadikan ‘matawang’ dengan emas dalam bentuk lain yang juga digunakan sebagai ‘alat bayaran’, mempunyai nilai yang sama dalam pasaran pada zaman tersebut. Yang membezakan hanya ketulinan emas. Contohnya, jika sesuatu bayaran itu boleh dibuat dengan matawang Satu Kupang Tera, maka ia juga boleh dibayar dengan emas dalam bentuk serbuk (emas urai) yang beratnya sebanyak Satu Kupang jika dipercayai emas itu sama ketulinannya. Dapat dikatakan bahawa sistem yang diamalkan itu hanya bersandarkan pada emas semata-mata sebagai piawai alat pembayaran. Yang penting adalah sifat emas yang hendak digunakan, iaitu ketulinannya dan juga beratnya, yang tertakluk pada Sistem Timbangan yang berlaku pada masa itu.

Pada zaman tersebut memang telah ada mata wang kecil daripada jenis logam murah dibuat, iaitu matawang timah atau tembaga, tetapi sandarannya tetap pada emas sebagai piawai nilai sebenar, yang berkait rapat dengan sebutan unit-unit timbangan yang sedang digunakan. Matawang kecil hanyalah sebagai sokongan kepada sistem bayaran emas pada masa itu. Di negeri Kedah mata wang jenis kecil ini disebut Tera, atau Tera Timah, kerana ia dibuat daripada logam timah.


Penguatkuasaan Pelaksanaan sistem timbangan di Kedah:

Dalam zaman tradisional Kedah, pelaksanaan hukum berkaitan timbangan adalah di bawah penguatkuasaan Syahbandar, dengan dibantu oleh orang-orangnya. Perkara ini ada disebut dalam bab Undang-Undang Pelabuhan Kedah. Sandaran penguatkuasaan ini adalah kepada hukum agama Islam. Undang-undang ini menyebut: ‘Dan, (Syahbandar) wajib menyuruh menyamai cupak dan gantang dan timbangan, jangan beri kecik besar, mahulah sama sekalian itu; kerana firman Allah taala: “Aufa al-Makil wa l-Mizan”, ertinya “Hendaklah sempurna oleh kamu segala sukatan dan timbangan segala ia isi negeri kamu”. Maka itulah difardhukan atas sekalian raja-raja yang mempunyai kebesaran dan panglima yang mempunyai kuasa menyuruh menyamai sukatan dan timbangan, kerana beberapa kaum nabi yang dahulu-dahulu itu (di)suruhkan Allah taala menyampaikan pada segala kaumnya menyamai sukatan dan timbangan. Maka tiada diturut oleh mereka itu. Maka dibinasakan Allah taala rugi, maka dirugikan Jibrail, dan setengahnya diturunkan Allah taala bala bagi atas negeri yang tiada menyamai sukatan dan timbangan itu, iaitu hujan api, dan setengahnya keluar api daripada dalam kuburnya, iaitu bumi. Syahdan maka hendaklah sungguh-sungguh kerasi suruh menyamai sukatan dan timbangan itu kerana pekerjaan aniayai di dalam hadis Nabi Muhammad Mustafa sallahu alaihi wasallam, pada sehari tujuh kali diturunkan Allah taala laknat di dalam pesara itu. Sebab itulah Syahbandar dan mata-mata berganti-ganti bersambang pada ketika malam, serta sakai Panglima Bandar’.[10]

Dalam zaman tradisional, dalam pemilik alat-alat timbangan juga dikenakan cukai tertentu, disebut sebagai ‘Hasil Dacing’. Dalam bab Undang-Undang Pelabuhan juga ada disentuh tentang perkara ini. Terdapat kata-kata: ‘Maka tiadalah dihukumkan jual beli dengan timah. Dan jika dihukumkan timah itu, tiada diberi berniaga dengan timah, tiadalah ramai bandar. Rugilah hasil dacing daripada itu, dan tiadalah timah itu datang daripada negeri lain dan daripada jajahan negeri pun’.[11]



Alat Timbangan:

Tercatatnya perkataan ‘dacing’ dalam Undang-Undang Pelabuhan Kedah menunjukkan alat timbangan ini telah digunakan sejak zaman tradisional. Walau pun kitab undang-undang ini boleh dikatakan suatu rekod bertulis paling awal, iaitu dalam zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin di Kota Naga, namun tentu sekali peralatan menimbang telah wujud lebih awal daripada itu.

Dalam amalan timbangan terdapat dua jenis dacing (steelyard) yang lazim digunakan. Jenis pertama ialah suatu set peralatan yang terdiri daripada batang penimbang yang bersenggat, piring untuk meletakkan barang dan batu penimbang. Bagi jenis ini batu penimbangnya hanya satu, digantung pada batang bersenggat itu, supaya dapat digelungsurkan kepada senggatan yang sesuai.

Jenis kedua pula terdapat dua piring kiri dan kanan di hujung gandar yang disangga oleh suatu tiang berdiri ditengahnya. Salah sayu piring digunakan untuk meletakkan barangan yang ditimbang manakala sebelah lagi untuk meletakkan beberapa batu penimbang yang mempunyai ukuran bersiri.

Dalam Salasilah Atau Tarikh Kerajaan Kedah karangan Wan Yahya (1911) ada disebutkan bahawa kerajaan Kedah pernah menempa matawang emas yang dinamakan ‘Sa Mas’ yang tiap satunya mempunyai berat ‘empat saga’.[12] Bila kita perhatikan betul-betul keterangan ini maka kita mengetahui bahawa perkataan ‘saga’ yang diceritakan oleh pengarang adalah suatu ‘unit berat’, bukan biji saga kundi yang pernah diceritakan di atas. Telah dijelaskan di atas bahawa ‘saga kundi’ ialah sejenis bijian kekacang yang pernah digunakan sebagai ‘batu’ penimbang asas dalam skala timbangan halus (5 saga kundi = 1 kupang; 20 saga kundi = 1 mas). Oleh itu, ‘saga’ yang dimaksudkan oleh Wan Yahya adalah berlainan daripada saga kundi. Dijangka, yang dimaksudkan ialah sejenis batu penimbang yang dibuat daripada emas, yang bentuknya dibuat berbentuk bulat seperti biji saga, yang mempunyai berat bersamaan satu kupang emas, maka dinamakan ‘saga emas’. Suatu objek bulat daripada emas yang beratnya bersamaan satu kupang (0.60 gm) pernah ditemui di runtuhan Kota Seputih, dianggarkan adalah suatu contoh ‘saga emas’ tersebut.[13]

Semua jenis peralatan menimbang dan komponennya seperti piring dan batu penimbang mestilah dibuat dengan kawalan pihak berkuasa. Dalam zaman traditional di Kedah ia adalah di bawah seliaan Syahbandar.

Biasanya dacing ini dibuat dalam beberapa ukuran. Set yang paling kecil biasanya digunakan untuk menimbang barang-barang kemas. Set yang sangat besar digunakan untuk menimbang barangan yang berat. Biasanya alat tersebut dinamakan oleh masyarakat awam sebagai ‘Pikul’. Set yang sedang ukurannya digunakan untuk menimbang barangan sederhana berat seperti ikan dan sayur-sayuran dinamakan ‘Kati’. Batu penimbang yang digunakan juga disebut mengikut nama yang bersesuaian, iaitu ‘batu kati’ atau ‘batu pikul’. Ada kemungkinan suatu nama tempat di Sumatera iaitu Batu Bahara mempunyai pertalian dengan peralatan timbangan Melayu ini.




Skala Timbangan Besar:

Dalam sekitar tahun 1661, iaitu dalam zaman pemerintahan Sultan Muhyiddin Mansur Syah ibni Sultan Rijaluddin yang memerintah di Kota Sena, beberapa kapal Inggeris telah datang di Kedah untuk berniaga. Perkara ini ada disebut dalam buku catatan orang Belanda, Dagh-Register, seperti yang dikutip oleh Sir R. O. Winstedt. Dalam catatan itu ada disebutkan tentang perniagaan timah di Kedah. Telah diceritakan perihal logam itu dalam bentuk beratnya, iaitu ‘bahara’, ‘bidor’ dan ‘kati’.

Berkaitan urusan perniagaan orang Belanda dengan Inggeris, Winstedt menceritakan: ‘Orang Belanda mahu semua hutang mereka dibayar dengan timah, tetapi Lock (orang Inggeris) dapat menghantar kepada Sr. Lucasz di Perak hanya sebanyak 15 bahar 99 ½ bidor timah. Nakhoda geliung Belanda, ‘Charlois’, melaporkan pula bahawa 130 bahar timah dalam simpanan gudang Lock telah diisytiharkan olehnya sebagai bukan harta milik orang Islam (Kedah). Oxendent, Presiden Inggeris di Surat, telah mengarahkan supaya semua timah dalam simpanan Lock itu dijualkan kepada orang Belanda, sebelum Kompeni Inggeris dan pegawai-pegawainya datang menuntut; kemudian Lock mengatakan bahawa ia akan berusaha menjualkan setiap kati timah itu kepada Belanda; jika dibayar dengan matawang emas Patani beliau mahukan 2 tahil bagi setiap bahar timah, satu bahar telah dinilai dengan harga $40’ (Terjemahan daripada Inggeris).[14]

Perkataan ‘bahar’ yang disebut dalam catatan itu ialah ‘bahara’, manakala perkataan ‘bidor’ ialah sejenis jongkong timah yang buat dengan berat tertentu sebanyak 2 ½ kati.[15]

Sebelum itu, pada tanggal 6 Julai 1641, iaitu dalam zaman pemerintahan Sultan Rijaluddin di Kota Naga, Sr. Hermansz telah tiba di Kedah membawa surat rasmi Gavernor-General Belanda di Betawi bersama hadiah-hadiah untuk sultan, dalam rangka permohonan Belanda untuk berniaga di Kedah. Berikutnya Hermansz telah berjaya memujuk Sultan untuk mengizinkan mereka memulakan perniagaan.

Berkaitan kedatangan orang Belanda itu Winstedt telah membuat suatu rumusan, yang mengandungi dan menunjukkan pertalian antara unit ‘bahara’ dengan unit ‘pikul’. Katanya, ‘Raja Kedah telah melayan Sr. Hermansz dengan keadaan sederhana, bersahaja dan menunjukkan sikap persahabatan, tidak seperti dilakukan oleh orang-orang Islam di India. Baginda telah mengurniakan anugerah balasan kepada Governor-General dan sepucuk surat rasmi yang menjanjikan untuk menjual separuh daripada perolehan tahunan timah kerajaan Kedah kepada Kompeni dengan kadar 31 ½ Riyal bagi satu bahara yang mengandungi 3 pikul, dan tidak membenarkan masuk pedagang yang tidak dapat menunjukkan surat pas daripada Gavernor (Belanda) di Melaka’.[16]

Petikan di atas telah menyatakan ‘satu bahara mengandungi 3 pikul’, sedangkan sebelum ini pernah diterangkan bahawa ‘satu bahara bersamaan dengan 2 pikul’. Sebenarnya ia bukan suatu kesalahan cetakan, tetapi perkara ini berkaitan dengan perbezaan antara sistem timbangan Melayu yang asal telah bercampur aduk dengan sistem timbangan Cina yang dibawa masuk kemudian ke alam Melayu. Didapati, ‘pikul’ orang Cina lebih ringan dibandingkan dengan ‘pikul’ Melayu. Puncanya ialah disebabkan ‘tahil Cina’ lebih ringan daripada ‘tahil Melayu’. Hasilnya, tiga pikul Cina bersamaan dengan satu bahara (Perkara ini dijelaskan lebih lanjut di bawah).

Daripada penjelasan dan petikan yang diturunkan di atas itu dapat kita katakan bahawa dalam zaman tradisional Kedah, unit-unit timbangan skala besar yang digunakan adalah menepati sistem Melayu keseluruhan, yang telah diamalkan sejak lama.

Skala timbangan besar tersebut dapat disusun sebagai berikut:-

16 tahil = 1 kati
100 kati = 1 pikul
2 pikul = 1 bahara
40 pikul = 1 koyan

Perlu dijelaskan di sini bahawa unit ‘bahara’ yang digunakan dalam timbangan tidak sama dengan penggunaan istilah bahara dalam perkara lain, misalnya ‘bahara Ringgit’ dan ‘bahara Mas’. Istilah-istilah ini banyak juga ditemui dalam sumber-sumber lama.  ‘Bahara Ringgit’ ialah jumlah 24 keping mata wang perak yang dinamakan ‘Ringgit’ atau ‘Riyal’ (asal matawang Sepanyol-8-Realle).[17] Oleh kerana Satu Ringgit lazimnya diterima di alam Melayu untuk ditukar dengan 2 keping Satu Mas/Jampal (beratnya Satu Mas), maka jumlah emas bagi tukaran 24 Ringgit adalah 48 Mas, iaitu bersamaan berat 3 Tahil. Sebab itu, emas sebanyak berat 3 Tahil boleh disebut juga sebagai satu ‘Bahara Emas’.

Pengaruh Skala Timbangan Luar di Kedah:

Kemajuan perdagangan di Kedah dari semasa ke semasa telah mendedahkan rakyat kepada kaedah masyarakat dari luar negeri. Orang dari tanah Aceh telah lama berhubung dalam perdagangan dengan orang-orang Kedah. Matawang Pasai telah pernah ditemui di negeri Kedah, yang menunjukkan perhuhubungan dagang antara Kedah dan Pasai telah terjadi sejak abad ke-13 lagi. Dengan itu, masyarakat tempatan juga telah didedahkan kepada kaedah penimbangan yang lazim diamalkan di Sumatera.

Dijangka, ‘piawai mayam’ untuk timbangan emas kemungkinan besar digunakan dahulu oleh masyarakat di Sumatera. Piawai tersebut ada disebutkan oleh Thomas Bowrey (1701) yang pernah melawat Aceh. Piawai tersebut baru kemudian dibawa masuk ke Kedah setelah perhubungan mereka dengan Semenanjung semakin mantap.

Selain itu kedatangan pedagang-pedagang Cina juga telah dikesan berlaku sejak lama di alam Melayu. Mereka yang telah mempunyai sistem timbangan tersendiri telah membawa amalan timbangan mereka ke Asia Tenggara. Namun, setelah lama perhubungan dengan masyarakat tempatan, maka istilah Melayu telah dicampur aduk ke dalam skala timbangan yang diamalkan mereka. Pengaruh sistem tersebut sedikit sebanyak telah meresapi ke dalam amalan masyarakat di Kedah.

Menurut Thomas Bowrey juga, skala timbangan Cina adalah sebagai berikut:-

10 kenderi = 1 mas (chi)
10 mas = 1 tahil (liang)
16 tahil = 1 kati Cina
100 kati = 1 pikul Cina
3 pikul Cina = 1 bahara Melayu

Telah dijelaskan juga oleh Bowrey bahawa ‘tahil Cina’ lebih ringan daripada ‘tahil Melayu’, iaitu beratnya 1 oz. 4 dw 1 gr. Dicatatkan juga bahawa ‘pikul Cina’ hanya mengandungi beban seberat 131 lb. 13 oz.  12 dw. (iaitu bersamaan dengan berat 60 Kilogram sekarang).

Perhatikan dengan saksama, bahawa unit ‘mas’ yang digunakan oleh orang Cina adalah berlainan unit ‘mas’ dalam ‘piawai mas’ dalam skala Melayu. Dalam skala Melayu, 16 mas bersamaan 1 tahil, sedangkan dalam skala Cina 10 mas bersamaan 1 tahil. Oleh itu unit ‘mas’ menurut kefahaman orang Melayu tidak sama dengan unit ‘mas’ menurut kefahaman orang Cina. Telah dicatatkan pula oleh Thomas Bowrey bahawa ‘pikul Cina’ bersamaan dengan 131 lb. 13 oz. 12 dw. Averdupois. (bersamaan dengan kira-kira 60 Kilogram) dan ‘tahil Cina’ bersamaan dengan 1 oz. 4 dw. 1 grain (bersamaan 36.34 grams). Dengan itu, unit-unit ‘pikul’ dan ‘kati’ yang digunakan oleh orang Cina boleh dikatakan sama dengan skala yang digunakan dalam ‘piawai mas’ Melayu. Dalam skala bagi piawai ini, 3 pikul Cina bersamaan dengan 1 bahara Melayu (180 Kilogram).

Masyarakat umum memang menyedari tentang perbezaan antara ‘tahil Melayu’ dengan ‘tahil Cina’ seperti disebut di atas. Maka, kiraan juga melibatkan unit-unit ‘kati’ dan ‘pikul’. Oleh kerana ‘kati Cina’ lebih ringan berbanding ‘kati Melayu’, maka masyarakat umum menggelarkan kati Cina itu sebagai ‘kati kechil’, manakala kati Melayu digelarkan ‘kati besar’.[18]

Perlu dijelaskan juga, perkataan ‘kenderi’ yang terdapat dalam skala di atas ialah nama bijian daripada sejenis pokok iaitu Adenanthera pavonina. Orang Melayu menyebutnya ‘saga kenderi’, ‘saga pokok’ atau ‘saga besar’. Biji saga ini berlainan daripada ‘saga kundi’. Biji saga kenderi lebih besar dan tidak mempunyai tompok hitam di sisinya. Sebab itu timbul suatu pepatah Melayu mengatakan ‘Yang korek itu kundi, yang merah itu saga’ (pembayang maksud pepatah). Maksudnya, biji saga yang berbintik hitam itu dinamakan saga ‘kundi’, manakala biji saga hanya berwarna merah itu disebut ‘saga’ sahaja.

Dalam amalan timbangan Cina biji saga kenderi inilah yang digunakan sebagai ‘batu timbangan’. Berat purata biji saga kenderi ini hampir dua kali ganda berat biji saga kundi. Sebab itu dalam sesetengah skala didapati persamaan 12 saga (kenderi) = 1 mayam. Penyamaan sebiji saga kenderi sebagai dua biji saga kundi sebenarnya tidak tepat dan menimbulkan banyak kekeliruan.


RUMUSAN: KEDAH MELALUI TITIAN ZAMAN

Kita telah lihat di atas bahawa masyarakat Kedah dipercayai telah mengamalkan sistem timbangan sejak zaman pra-Hindu dan pra-Islam lagi. Didapati pengaruh dari India telah membawa masuk kedua-dua jenis piawai yang pernah diamalkan di sana, iaitu ‘piawai mas’ dan ‘piawai mayam’. Dalam masyarakat Melayu, kewujudan kedua piawai sudah cukup mengelirukan. Kekeliruan itu ditambah pula dengan kemasukan sistem yang dibawa oleh masyarakat Cina apabila mereka datang berniaga di rantau ini. Seterusnya, secara langsung masyarakat Kedah juga terdedah dengan amalan perdagangan dan timbangan yang dibawa dari barat sejak abad ke-16M, menjadikan keadaan semakin bercampur aduk.

Di samping itu, kedua-dua jenis ‘saga kundi’ (kecil) dan ‘saga kenderi’ (besar) sebagai unit terkecil dalam skala timbangan tradisional telah digunakan secara bercampur aduk dan bercelaru. Kecelaruan ini terbayang apabila kita merujuk beberapa kamus untuk mencari makna perkataan-perkataan seperti ‘kundi’, ‘kenderi’, ‘mas’, ‘mayam’ dan sebagainya. Kekeliruan ditambah pula dengan wujudnya istilah ‘saga emas’.

Tambahan lagi, penggunaan ‘saga besar’ yang dikelirukan dengan ‘saga kundi’ telah mendedahkan masyarakat pada kecelaruan yang teruk, yang boleh pula dieksploitasi oleh peniaga-peniaga untuk melakukan penipuan, dalam amalan timbangan tradisional ini.

Akibatnya, kecelaruan ini masih dapat dirasakan hingga sekarang. Dalam sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, sifir-sifir yang bercelaru itu masih diajar dalam sekolah di Malaysia. Sebagai contoh, lihat petikan yang dipaparkan di bawah ini, yang diambil daripada muka belakang buku-buku latihan sekolah rendah:

Timbangan Emas:

12 Saga = 1 Mayam
16 Mayam = 1 Bungkal
12 Bungkal = 1 Kati[19]
9 Hun = 1 Mayam

Timbangan Melayu:

16 Tahil = 1 Kati
100 Kati = 1 Pikul
40 Pikul = 1 Koyan
12 Tahil = 1 Pound

Seterusnya, kecelaruan masyarakat di Kedah bertambah pula dengan bercampur aduknya skala timbangan dengan skala sukatan isipadu. Misalnya, daripada sumber yang sama kita dapat lihat skala ‘campuran’ sebagai berikut:

Sukatan Beras:

2 Kepul = 1 Kal
2 Kal = 1 Chupak
4 Chupak = 1 Gantang
20 Gantang = 1 Pikul[20]   
40 Pikul = 1 Koyan
800 Gantang = 1 Koyan
5 Kati = 1 Gantang

Penyamaan ukuran ispadu dengan ukuran berat untuk bahan-bahan tertentu seperti beras (20 gantang = 1 pikul) telah diamalkan oleh masyarakat Kedah sejak lama. Hingga tahun 1800-an amalan seperti ini adalah biasa. Perkara ini dapat kita lihat dalam catatan ‘Peringatan Raja-Raja Kedah’ (1804-1877) yang ditulis oleh Dato’ Bendahara Kota Indera Kayangan berkaitan dengan Perolehan dan Perbelanjaan Kerajaan Kedah pada zamannya. Telah dicatatkan tentang harga beras pada masa itu sebagai berikut:

‘Pada masa itu beras harga jualan dalam negeri kadar Setali lima gantang, jadi sekoyan dua puluh Riyal’.[21]

Daripada petikan di atas kita dapat lihat hubungan antara ‘gantang’ dengan ‘koyan’ melalui harganya. ‘Setali’ bermaksud seperlapan Riyal (1/8 Riyal) iaitu harga bagi 5 gantang beras, maka apabila kita kirakan jumlah beras bagi 20 Riyal untuk sekoyan, maka diperoleh jumlahnya ialah 800 gantang. Ini bererti, pada masa itu sudah diamalkan kadar penukaran 20 gantang = 1 pikul, dan 40 pikul (800 gantang) = 1 koyan.

Seterusnya, kedatangan penjajah telah mendedahkan pula masyarakat kepada sistem timbangan yang baru dibawa masuk, antaranya ialah sistem Timbangan Troy untuk barangan kecil dan sistem Timbangan Averdupois untuk menimbang barangan besar. Unit-unit yang pernah kita gunakan dalam kedua sistem tersebut ialah ‘drams’, ‘grain’ (gr), ‘ounce’ (oz), ‘penny-weight’ (dw), ‘hundred-weight’ (Cw), ‘pound’ (L), ‘stone’ (St) dan ‘ton’, semuanya pernah difahami oleh masyarakat Kedah. Di negeri Kedah kedua-dua sistem tersebut pernah digunakan seiring dengan sistem tradisional. Kini, kedua-dua sistem itu pula sedang menerima giliran untuk dilupakan oleh masyarakat.

Selaras dengan perubahan di dunia, di negeri Kedah juga telah lama dirasai perubahan itu, dengan munculnya sistem baru yang dinamakan ‘Sistem Metrik’. Nampaknya sistem ini mudah diterima oleh masyarakat kerana skalanya terdiri daripada unit-unit berat yang merupakan ‘gandaan sepuluh’. Kini unit-unit dalam skala Metrik seperti ‘milligram’, ‘gram’, dan ‘Kilogram’ telah menjadi amat biasa bagi masyarakat Kedah.

Masyarakat Kedah telah lama melupakan sistem timbangan tradisional mereka, tetapi masih mengingati istilah-istilah lama seperti ‘kupang’ dan ‘mayam’, namun maknanya jauh berbeza dengan makna dalam zaman tradisional. Kini giliran anak-anak muda pula melupakan istilah-istilah yang pernah digunakan oleh ayah dan datuk mereka sepert ‘tahil’, ‘kati’ dan ‘pikul’. Mereka kini hanya memahami istilah-istilah ‘kilo’ dan ‘gram’ sahaja. Maka, kita dapati sistem timbangan tradisional telah terkubur bersama titian masa silam yang direntasinya.




[1] Muhammad Hassan bin Dato’ Kerani Muhammad Arsyad, At-Tarikh Salasilah Negeri Kedah Darul Aman. Cetakan huruf Jawi, 1928, terbitan Jelutung Press, Pulau Pinang. Halaman 53-54.

[2] Penjelasan:                   12                  tera                  =                  1                  pitis
                                    150                  tera                  =                  12 ½                   pitis                  =                  1                  kupang (emas)
                                    600                   tera                  =                  4                  kupang                  =                  1                  jampal (emas)
                                    1200                  tera                  =                  2                  jampal                  =                  1                  riyal (perak)
[3] Winstedt, Sir R.O., ‘Notes on the History of Kedah’, JMBRAS Vol. XIV, Part III, Dec. 1936, halaman 57.
[4] Mariyam Salim, Undang-Undang Kedah, 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 51.
[5] Mariyam Salim, Undang-Undang Kedah, 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 52.
[6] Mariyam Salim, Undang-Undang Kedah, 2005.,terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 13.
[7] Mariyam Salim, Undang-Undang Kedah, 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 18.
[8] Millies, H.C., Recherches sur les Monnaies des Indigenes de L’Archipel Indien et de la Peninsule Malaie, 1871, Terbitan Martinus Nijhoff, The Hague, halaman 130.
[9] Lihat Ibrahim Bakar Langkawi, Sejarah Matawang Negeri Kedah dan Perlis, 2006, terbitan PSMCK, halaman 23-26, dan Ibrahim Bakar Langkawi, ‘Bagaimana Menyikah Matawang di Negeri Kedah’ dalam Purba (Jurnal Persatuan Muzium Malaysia), bilangan 28, 2009, halaman 36-48.
[10] Mariyam Salim, Undang-Undang Kedah, 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 12-13.
[11] Mariyam Salim, Undang-Undang Kedah, 2005, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, halaman 10.
[12] Wan Yahya Wan Muhammad Taib, Salasilah Atau Tarikh Kerajaan Kedah (Cetakan Jawi), 1911, terbitan Matba’ Penang & Straits Press, Pulau Pinang, halaman 4.
[13] Ibrahim Bakar Langkawi, jurnal Purba.
[14] Winstedt, Sir R.O., ‘Notes on the History of Kedah’, JMBRAS Vol. XIV, Part III, Dec. 1936, halaman 59.
[15] Temple, R. C., The Obsolete Tin Currency and Money of the Federated Malay States, 1914, terbitan The British India Press, Bombay, halaman …...
[16] Winstedt, Sir R.O., ‘Notes on the History of Kedah’, JMBRAS Vol. XIV, Part III, Dec. 1936, halaman 63.
[17] Peringatan Raja-Raja Kedah (manuskrip Jawi), halaman 14 dan 18.
[18] Swettenham, Sir Frank, Vocabulary of the English And Malay Languages With Notes, Volume II, 1927 terbitan Kelly & Walsh Limited, Singapura, halaman 166.

[19] Lihat juga persamaan pada skala Goldsmith’s Weight seperti yang dicatat oleh Sir Frank Swettenham dalam kamus ‘Vocabulary of the English and Malay Languages with Notes tahun 1927 pada halaman 166.
[20] Di sini telah berlaku penyamaan isipadu (gantang) dengan berat (pikul). Sepatutnya skala sukatan isipadu di Kedah diteruskan dengan: 16 Gantang = 1 Nalih;  10 Nalih = 1 Kunca. (Dalam kamus ‘Vocabulary of the English and Malay Languages with Notes oleh Sir Frank Swettenham, tahun 1927 pada halaman 167 dicatatkan 10 Gantang bersamaan 1 Nalih, kemungkinan suatu kekeliruan).
[21] Peringatan Raja-Raja Kedah (manuskrip Jawi), halaman 14.