Tuesday, September 13, 2011

WEIGHT SCALE AND MONEY


PENDAHULUAN:

Semua masyarakat manusia di dunia, walau di mana pun mereka berada, tentu mengamalkan pertukaran barangan keperluan harian. Dalam mengendalikan pertukaran itu, mereka mempunyai beberapa cara kiraan bagi mendapatkan persetujuan bersama, antaranya ialah amalan menimbang. Bagi memudahkan amalan timbangan itu dilaksanakan, maka bermulalah terciptanya alat-alat timbangan. Amalan timbangan tersebut dilakukan dalam suatu sistem timbangan. Dalam sistem ini, suatu skala timbangan telah dipersetujui bersama, supaya dapat dicapai kesaksamaan dalam amalan pertukaran barangan mereka itu. Dipercayai sistem timbangan telah pun diamalkan oleh masyarakat manusia sejak zaman pra-sejarah lagi. Pada peringkat awal skala timbangannya bersifat mudah, kemudian barulah semakin diperhalus mengikut pengalaman harian mereka.

Perkara yang paling penting dalam amalan sesuatu sistem timbangan ialah penentuan piawai (standard) bagi peralatan yang hendak digunakan. Peralatan awal yang lazim digunakan ialah dacing yang terdiri daripada gandar bersenggat dan juga batu penimbang. Contoh dacing dan batu penimbang yang telah ditentukan dengan pesetujuan ramai akan disimpan sebagai piawai, dan digunakan sebagai panduan untuk membuat dacing-dacing dan batu-batu penimbang lain untuk kegunaan orang ramai. Biasanya, dacing dan batu penimbang piawai itu akan disimpan oleh pihak berkuasa atau kerajaan yang memerintah pada ketika itu.

Lazimnya, dalam mana-mana masyarakat di dunia ini, telah diamalkan satu sistem utama dengan dua skala yang berbeza. Pertama ialah skala kecil yang digunakan untuk menimbang barang-barang kecil dan ringan seperti emas-perak dan ubat-ubatan. Yang kedua ialah skala besar yang digunakan untuk menimbang barang-barang keperluan yang lebih besar dan berat seperti hasil-hasil pertanian dan laut dan juga hasil-hasil galian seperti timah dan besi.

Beberapa penemuan arkeologi menunjukkan di negeri Kedah telah lama wujud masyarakat yang bertamaddun. Antara kelompok yang besar dan penting adalah masyarakat yang hidup di sekitar Sungai Batu, dalam kawasan lembah Bujang sekarang. Bukti menunjukkan masyarakat Kedah purba itu telah mengamalkan sistem kemasyarakatan yang kompleks, semenjak sekitar tahun 110 Masihi lagi.[1] Walau pun begitu, setakat ini belum ditemui apa-apa tanda yang menunjukkan mereka mengamalkan suatu sistem timbangan yang khas, namun masyarakat yang kompleks seperti ini sudah pasti memiliki sistem tersendiri berkaitan amalan timbang-menimbang dan pertukaran barangan. ‘Masyarakat Sungai Batu’ yang dimaksudkan itu telah pun memiliki tamadun yang mantap sejak sebelum kedatangan Islam, malah sebelum kedatangan pengaruh Hindu/Buddha di kawasan tersebut.

Dalam abad ke-dua Masihi, pedagang-pedagang dari India Selatan telah datang berdagang di Tanah Melayu dalam jumlah yang besar, tetapi aktiviti tersebut telah menurun dalam abad ke-tiga Masihi.[2] Semenjak itulah pengaruh budaya mereka mula diterima oleh masyarakat tempatan. Pada masa itu masyarakat Kedah di Sungai Batu sudah sangat maju, hasil daripada perkembangan sebelumnya. Orang-orang India itu telah datang ke sini dengan berbagai tujuan, antaranya ialah menjalankan perdagangan. Ini adalah hasil daripada kemajuan dalam ilmu pelayaran yang sedang mula berkembang pada saat itu, yang menyebabkan pelayar-pelayar dari India itu dapat tiba dengan mudah ke sini. Tidak perlu dijelaskan dengan panjang lebar akan kaitan antara amalan perdagangan dengan sistem timbang menimbang. Dipendekkan cerita, budaya timbang menimbang amalan masyarakat India dipercayai telah dibawa masuk ke kawasan Kedah ini sejak masa itu. Sebaliknya, amalan timbangan yang pernah dijalankan oleh masyarakat Kedah yang lebih awal mungkin berbeza dengan amalan yang dibawa oleh masyarakat dari India itu.


SISTEM TIMBANGAN MELAYU: SISTEM SAGA

Sistem timbangan yang paling awal diamalkan oleh masyarakat di Kedah dipercayai adalah selaras dengan sistem yang digunakan oleh masyarakat Melayu awal di Asia Tenggara. Di dapati, sistem yang diamalkan itu telah bercampur aduk dengan pengaruh sistem yang dibawa dari India. Perkara ini boleh dikatakan kerana istilah-istilah yang digunakan dalam skala timbangan awal yang diamalkan itu adalah campuran istilah-istilah India dan tempatan.

Sistem awal tersebut kita gelarkan ‘sistem saga’ kerana ‘batu timbangan’ yang paling asas digunakan ialah biji-biji saga. Dalam sistem ini, skala timbangan yang diwujudkan adalah berdasarkan gandaan berat biji saga jenis ini. Biji saga ini berasal daripada sejenis tumbuhan kekacang liar species Abrus precatorius. Biji kekacang ini berwarna merah terang, mempunyai suatu tompok berwarna hitam di sisinya. Orang Melayu menyebutnya ‘saga kundi’. Purata berat biji-biji saga ini kira-kira 0.118 gram menurut ukuran Metrik sekarang.[3]

Orang-orang India juga didapati telah menggunakan biji saga Abrus ini sebagai unit asas timbangan mereka sejak awal tahun Masihi lagi. Di tempat mereka saga jenis ini dinamakan ‘raktika’ atau ‘ratti’. Di dapati masyarakat India Selatan telah menggunakan piawai 20 saga/ratti sebagai unit utama skala beratnya. Manakala negeri-negeri di sebelah timur India menggunakan piawai 32 saga/ratti sebagai unit utama.[4] Amalan pengukuran berat orang India itu dipercayai mula meresap ke dalam kehidupan masyarakat tanah besar Asia Tenggara bersama budaya dan agama. Kedua-dua piawai tersebut didapati telah pernah diamalkan di sekitar tanah besar Asia Tenggara.
Dalam awal milineum pertama, masyarakat berkerajaan yang utama di Asia Tenggara adalah di lembah Mekong, disebut dalam sumber Cina sebagai negeri ‘Funan’, iaitu sebuah kerajaan Melayu berteraskan kepercayaan Hindu. Kajian sejarah menunjukkan kerajaan Funan itu telah pernah menguasai Semenanjung Tanah Melayu di sekitar Segenting Kra. Berkaitan itu, dipercayai amalan masyarakat pantai timur dan barat Semenanjung, terutama bahagian utara, iaitu kawasan masyarakat Kedah purba, telah menerima pengaruh budaya Melayu Funan itu.

Dalam abad ke-6 Masihi pusat kekuasaan Melayu di tanah besar Asia Tenggara telah menjadi lemah. Tidak berapa lama setelah itu, dalam pertengahan abad ke-7 Masihi, muncul pula sebuah kuasa orang Melayu yang baru berpusat di Sumatera, iaitu dikenali sebagai Kerajaan Sriwijaya. Kerajaan ini telah berkembang dengan amat cepat, sehingga akhirnya menguasai seluruh Pulau Sumatera, sebahagian Pulau Jawa hingga ke Jawa Tengah dan seluruh Semenanjung Melayu hingga ke kawasan Segenting, termasuklah Kedah. Dalam abad ke-8 Masihi telah muncul sebuah dinasti yang amat berpengaruh di Jawa Tengah, disebut dalam beberapa batu prasasti sebagai Sailendra. Beberapa teori telah dikemukakan tentang kewujudan dinasti Sailendra di Jawa ini. Ada pandangan mengatakan mereka berpindah dari tanah besar Asia Tenggara dan ada pula ahli sejarah yang percaya mereka berasal dari Sumatera, sebagai pecahan kerajaan Sriwijaya.

Telah disebut di atas bahawa dua jenis piawai amalan timbangan telah masuk ke Asia Tenggara dari India. Dijangka kedua-dua jenis piawai ini juga telah merebak ke Kepulauan Melayu dengan sedikit modifikasi. Di Kepulauan Melayu juga telah dikenal dua piawai timbangan yang dimalkan serentak, dengan skala yang berlainan. Pertama yang menggunakan 20 saga kundi = 1 Mas, boleh kita gelarkan ‘Piawai Mas’. Kedua ialah yang menggunakan 24 saga kundi = 1 Mayam, boleh kita gelarkan sebagai ‘Piawai Mayam’. Kedua-dua piawai ini telah digunakan serentak sehingga menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat.


A) PIAWAI MAS:

Rekod mengenai penggunaan ‘Piawai Mas’ telah dikesan sejak lama, seawal zaman Kerajaan Sailendra. Seperti telah diketahui umum bahawa Kerajaan Sailendra telah meninggalkan impak yang besar dalam sejarah kemajuan Melayu. Merekalah yang telah membina salah sebuah monumen besar dunia iaitu candi Borobudur. Banyak pula candi-candi kecil telah dibina di Jawa, yang dianggarkan sezaman dengan Sailendra. Dalam beberapa candi itulah, dan di beberapa tempat lain, telah ditemui maklumat-maklumat bersejarah, antaranya ialah kepingan-kepingan tembaga yang bertulis. Antara perkara yang direkodkan adalah sebutan-sebutan bagi unit-unit berat, iaitu yang berkaitan dengan sistem timbangan zaman tersebut.

Daripada serpihan maklumat-maklumat itu, ahli-ahli sejarah telah dapat menyusun unit-unit berat yang disebut menjadi suatu skala timbangan kecil seperti yang pernah diamalkan oleh masyarakat Sailendra, sejak abad ke-9 hingga abad ke-13 Masihi. Skala tersebut dapat disusun sebagai berikut:-

1 kati = 16 (?) suwarna
1 suwarna = 16 masa = 64 kupang
1 masa = 4 kupang
1 atak = 2 kupang
1 kupang = ? saga

Dalam skala di atas terdapat istilah yang bercampur aduk, iaitu perkataan-perkataan ‘suwarna’ dan ‘masa’ yang berasal dari India, manakala perkataan-perkataan ‘kati’, ‘kupang’, ‘atak’ dan ‘saga’ adalah perkataan asal masyarakat di Asia Tenggara.[5]

Perkataan ‘suwarna’ yang digunakan di India itu bererti ‘emas’. Berkaitan itu, perkataan yang digunakan bagi menimbang logam perak yang beratnya setara dengan ‘suwarna’ disebut ‘dharana’. Manakala perkataan ‘masa’ juga bermaksud ‘emas’, iaitu merupakan asal usul perkataan emas bagi sebutan Melayu sekarang. Manakala bagi unit yang setara dengan ‘suwarna’, orang Melayu menyebut sebagai ‘tahil’. Perlu dijelaskan juga bahawa dalam piawai ini unit satu ‘mas’ adalah bersamaan dengan berat kira-kira 20 biji saga Abrus/kundi yang telah disebut di atas.

Sistem timbangan ini bukan digunakan di Pulau Jawa dan Bali sahaja, tetapi telah merebak ke Sumatera dan seluruh Asia Tenggara, terutama dalam masa kegemilangan Empayar Sriwijaya. Berikutnya beberapa unit baru telah digunakan, misalnya ialah unit Paha bagi jumlah berat sebanyak 4 Emas. Dengan itu, dapat disimpulkan bahawa unit-unit dalam skala timbangan yang digunakan di alam Melayu adalah hasil daripada perkembangan empayar Sriwijaya itu.

Dalam istilah Melayu sepenuhnya skala timbangan kecil bagi ‘piawai mas’ yang umum digunakan di alam Melayu dapat disusun sebagai berikut:-

5 Saga = 1 Kupang
4 Kupang = 1 Emas (Mas)
4 Mas = 1 Paha
4 Paha = 1 Tahil
16 Tahil = 1 Kati

Skala timbangan di atas umumnya digunakan bagi menimbang barang-barang kecil. Bagi timbangan barangan yang lebih berat biasanya digunakan alat-alat yang lebih besar, tetapi asas skala adalah sama. Skala timbangan besar yang umum digunakan ialah:

16 Tahil = 1 Kati
100 Kati = 1 Pikul[6]
3 Pikul = 1 Bahara
40 Pikul = 1 Koyan

Menurut pengiraan sekarang, dengan mengambil kira purata sebiji saga kundi ialah 0.118 gram, maka kita dapati jumlah berat bagi 1 kati ialah 604.16 gram. Ini bererti, jumlah berat bagi 1 pikul (100 kati) ialah lebih kurang 60 Kilogram.


Pembentukan matawang asas daripada ‘Piawai Mas’:

Dalam sejarah peradaban manusia di dunia didapati logam-logam ‘mulia’ seperti emas dan perak menjadi barangan yang dikatakan mengandungi ‘nilai’ dan sentiasa ingin dimiliki. Oleh itu logam-logam ini telah menjadi bahan untuk menyimpan ‘nilai’ atau ‘harta’ seseorang. Dengan sifat tersebut, logam-logam ini telah berubah menjadi bahan perantara bagi pertukaran nilai (harta atau barangan). Logam-logam ini akan berpindah tangan dari satu pemilik kepada pemilik yang lain berkali-kali. Sebelum berlaku perpindahan pemilikan maka logam ini perlu ditentukan ketulinannya dan diukur beratnya, mengikut skala yang diamalkan di atas.

Namun, proses pengukuran yang berulang kali telah menimbulkan masalah, diperlukan masa dan tenaga. Dengan itu timbullah idea untuk ‘menanda’ sesuatu logam, emas atau perak, yang dimaksudkan khas untuk perantara pertukaran, yang beratnya dan ketulinannya telah ditentukan lebih dahulu. Badan yang berhak dan berkuasa memberikan ‘tanda’ atau ‘cap’ atau ‘tera’ pada logam tersebut biasanya adalah ketua masyarakat, iaitu raja atau wakil raja. Dengan itu terciptalah logam emas atau perak yang tertera nama pihak berkuasa, dikenali sebagai ‘mata wang’.

‘Mata wang’ yang lazim digunakan di Alam Melayu kebanyakannya dibuat daripada emas, dan sedikit daripada perak. Bagi memudahkan penggunaannya, logam emas yang dipilih untuk ditanda/tera ialah yang berukuran berat sebanyak Satu Kupang (bersamaan berat 5 saga Kundi) atau Satu Mas (bersamaan berat 20 saga Kundi, bersamaan 4 Kupang). Unit emas yang lebih berat seperti satu Paha atau satu Tahil sudah tidak sesuai untuk dijadikan mata wang.

Semenjak terciptanya ‘logam bertera’ yang disebut ‘mata wang’ itu maka ia menjadi semakin dipercayai masyarakat dan semakin banyak diedarkan oleh pihak berkuasa. Ketulinannya dan beratnya dijamin oleh raja / pihak berkuasa. Oleh itu ia tidak perlu lagi ditimbang atau disiasat ketulinannya, kecuali jika terdapat kecurigaan pemalsuan. Namun, hukuman bagi pemalsuan mata wang raja ini amat berat. Dengan itu proses pindah milik dan berjual beli menjadi semakin mudah.

Tetapi dalam masa yang sama logam yang tidak ditera oleh pihak berkuasa masih berfungsi seperti sebelumnya. Maksudnya, logam seperti emas dalam bentuk mata wang dan logam dalam bentuk yang lain, contohnya serbuk emas (emas urai), beredar dalam masa yang sama sebagai perantara pertukaran jual beli, dalam masyarakat Melayu di seluruh Asia Tenggara zaman silam. Perkara ini banyak tertulis dalam catatan-catatan lama seperti kanun undang-undang.


B) PIAWAI MAYAM:

Penggunaan ‘Piawai Mayam’ di kepulauan Melayu juga telah dapat dikesan sejak lama. Thomas Bowrey dalam tahun 1701 telah merekodkan skala timbangan yang digunakan di Aceh pada masa itu. Skala yang dicatatkannya dimulai dengan unit ‘mayam’, di mana 16 mayam bersamaan 1 bungkal. Sambil itu diterangkan pula bahawa berat 1 bungkal itu bersamaan dengan berat 1 oz. 8 dw. 23 gr. dalam sistem Troy, iaitu bersamaan 45.02 gram dalam sistem Metrik sekarang.  Ini bererti, 1 kati (20 bungkal) dalam skala ini bersamaan dengan 900.4 gram, atau 100 kati (1 pikul) bersamaan dengan 90.04 Kilogram.

Daripada 1 bungkal (45.02 gram) di atas dapatlah dikira berat satu mayam, iaitu kira-kira 2.81 gram. Kalau kita ambil kira purata berat sebiji saga kundi bersamaan dengan 0.118 gram, maka kiraan bagi setiap ‘mayam’ bersamaan dengan 24 saga kundi. (2.81 / 0.118 = 24).

Selain itu, istilah ‘bahara’ dalam skala yang dicatatkan oleh Bowrey disebut sebagai ‘Bahar Malayo’, iaitu ‘Bahara Melayu’. Bowrey telah menerangkan pula bahawa satu ‘Bahara Melayu’ itu bersamaan dengan berat 396 pound 11 oz. 14 grains mengikut skala Averdupois yang digunakan di England ketika itu. Menurut kiraan unit Metrik sekarang, berat tersebut bersamaan dengan 179.91 Kilogram, iaitu kira-kira 180 Kilogram.

Oleh itu, berat satu ‘pikul Melayu’ bersamaan dengan 90 Kilogram sekarang. Manakala ‘bungkal’ telah dijelaskan bersamaan dengan berat 1 oz. 8 dw. 23 gr. mengikut skala Troy.[7]

Susunan skala dalam ‘piawai mayam’ seperti yang dicatat oleh Bowrey (dimulai dengan unit ‘mayam’) adalah sebagai berikut:

24 saga kundi = 1 mayam (2.81 gm)
16 mayam = 1 bungkal (45.02 gm)
20 bungkal = 1 kati (900.4 gm)
100 kati = 1 pikul (Melayu) (90.04 Kg)
2 pikul = 1 bahara Melayu (180 Kg)




[1] Mokhtar Saidin, Dari Zaman Batu ke Tamadun Awal di Malaysia,  2011, Penerbit USM, Pulau Pinang, halaman 23.
[2] Mitchiner, M.B., The History and Coinage of Southeast Asia until the Fifteenth Century, 1986, terbitan Hawkins Publications, London, halaman 36.
[3] Mitchiner, M.B. & Pollard, A.M., Early South-East Asian Currency Systems, 1990, terbitan Instituto Universitario Orientale, Napoli, halaman 1.
[4] Mitchiner, M.B.,  The History and Coinage of Southeast Asia until the Fifteenth Century, 1986, terbitan Hawkins Publications, London, halaman 48.
[5] Wicks, Robert S., Money, Markets and Trade in Early Southeast Asia, 1992, terbitan Cornell University, New York, halaman 252.
[6] ‘Pikul’ ialah sejumlah berat yang mampu ditanggung oleh purata seseorang manusia. Dalam bahasa Inggeris disebut ‘one man’s load’.
[7] Temple, R. C., The Obsolete Tin Currency and Money of the Federated Malay States, 1914, terbitan The British India Press, Bombay, halaman 62.

No comments:

Post a Comment